Tuesday, January 31, 2012

~ya Allah, bahagiakan ku dalam redhaMu..

Bismillahirrahmaanirrahim…

"Segala puji-pujian bagiMu ya Allah yang berkuasa atas tiap2 sesuatu..."

Kata2 renungan buat diriku…
“Kehadiran dan pertemuan seseorang dalam hidup kita sebenarnya tidak pernah terlintas dalam fikiran kita. Seseorang itu hadir tanpa kita duga. Tanpa kita sedari,kehadirannya banyak menceriakan dan membahagiakan hidup kita yang selama ini barangkali kegundahan sering melanda diri kita. Mungkin dalam hidup kita selama ini, kita sering dalam kesedihan dan duka. Dengan kehadirannya insan itu, segala luka dirasakan seolah sembuh dan kesepian seolah kembali ceria. Mungkin juga kehadiran insan itu mengundang sebaliknya dalam hidup kita. Ketahuilah, setiap takdir itu selindung seribu hikmah dariNya.

Suatu saat nanti, perpisahan pasti akan mengiringi kepada sebuah pertemuan yang terbina, kehilangan pada rasa kehadiran. Redhalah pada hakikat sebuah kehidupan. Yang datang, pasti jua akan pergi. Yang bertemu, pasti jua akan berpisah. Yang terasa hadir, pasti jua akan terasa kehilangan.

Kehadiran seseorang silih berganti dalam hidup kita. Perginya insan yang disayangi, hadirnya pula insan lain sebagai pengganti. Setiap pertemuan dan perpisahan mengajar kita hakikat kehidupan dimana kita saling memerlukan antara satu sama lain dalam hidup kita.

Setiap yang berlaku adalah menurut takdir dan ketentuanNya untuk kita dalam kitabNya 'Lauh Mahfudz' yang sentiasa ingin menghadiahkn yang terbaik buat kita...kerana Allah itu Maha Pemurah, Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya...”


Sebelum itu, ingin sekali ku peringatkan diri ini yang sentiasa lalai dengan sebuah peringatan dari Allah Ta'ala.. 

“ Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” ( QS. Al Israa’: 32)
Inginku bicara rasa hatiku..ya Allah!..

Ketika cinta kini hadir tidak untuk Yang Maha Mengetahui, saat secercah rasa tidak lagi tercipta untuk Yang Maha Pencipta.

Izinkanlah hati bertanya untuk siapa ia muncul dengan tiba-tiba, mungkinkah dengan redhaNYA atau hanya mengundang murkaNYA..???
Jika benar cinta itu kerana ALLAH maka biarkanlah ia mengalir mengikut aliran ALLAH kerana hakikatnya ia berhulu dari ALLAH maka ia pun berhilir hanya kepada ALLAH..

” Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin ALLAH akan memampukan mereka dengan kurniaNYA.” (QS. An Nuur: 32 )

Ku ingatkan diriku
Jika kelemahan ini ku masih tidak mampu , maka bersabarlah.. berdoalah.. berpuasalah..

” Wahai kaum pemuda, siapa saja diantara kamu yang sudah bersedia untuk bernikah, maka menikahlah, sesungguhnya nikah itu memelihara mata, dan memelihara kemaluan, maka bila diantara kamu belum sanggup untuk menikah, maka berpuasalah, kerana sesungguhnya puasa tersebut sebagai penahannya.” ( Hadis )
Kehadirannya dalam hidupku…biarpun rasa ini tidak pernah ku luahkan padanya..Cukuplah Allah yang Maha Mengetahui Segala Isi Hatiku..Dia-lah Penolongku…Dia-lah Pelindungku..ya Rabbi!

…Cukup cintai dia dalam diam…
Bukan kerana membenci hadirnya.. tetapi menjaga kesucian hatinya bukan kerana menghindari dunia.. tetapi meraih syurgaNYA bukan kerana lemah untuk menghadapinya.. tetapi menguatkan jiwa dari godaan syaitan yang begitu halus dan menyelusup..

…Cukup cintai dia dari kejauhan...
Kerana hadirmu tiada kan mampu menjauhkannya dari ujian.. kerana hadirmu hanya akan menggoyahkan iman dan ketenangan.. kerana mungkin sajakan membawa kelalaian hati-hati yang terjaga..Allahurobbi..jauhkanlah ia ya Allah!

…Cukup cintai dia dengan kesederhanaan…
Memupuknya hanya akan menambah penderitaan.. menumbuhkan harapan hanya akan memberi kebahagiaan para syaitan..

…Maka cintailah dia dengan keikhlasan…
Kerana tentu kisah Fatimah dan Ali Bin Abi Talib diingini oleh hati.. tetapi sanggupkah jika semua berakhir seperti sejarah cinta Salman Al Farisi..?

~ Pilihan ALLAH itu yang TERBAIK!
“.. boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” ( QS. Al Baqarah: 216 )

Bagiku..Cukuplah ku cintai dia dalam diam dari kejauhan dengan kesederhanaan dan keikhlasan..
Kerana tiada yang tahu rencana Tuhan.. mungkin saja rasa ini ujian yang akan melapuk atau membeku dengan perlahan..

Kerana hati ini begitu mudah untuk dibolak-balikkan.. serahkan rasa yang tiada sanggup dijadikan halal itu pada Yang Memberi dan Memilikinya.. biarkan DIA yang mengatur semuanya hingga keindahan itu datang pada waktunya..

” Barangsiapa yang menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga” (Umar Bin Khattab ra)

 Renungilah kata Imam Al-Ghazali ini..

"Pertama telah kupandang makhluk yang banyak ini..

Maka aku saksikanlah bahawa tiap-tiap mereka mempunyai kekasih dan kecintaan tempat hatinya tertambat.

Sebahagian daripada kekasih itu hanya mendampingi sampai ke sakit yang membawa maut dan sebahagian hanya sampai ke tepi liang kubur.

Setelah itu kesemuanya pulang dan meninggalkan kekasihnya seorang diri. Tidak seorang pun yang turut masuk ke kubur dan menghiburkan di dalamnya.
Yang demikian tidak kudapati selain amal yang soleh.

Sebab itu maka kuambil ia menjadi kekasihku supaya kelak ia menjadi pelita di dalam kubur menghiburkan dan tidak meninggalkan aku seorang diri."



 Ya Allah..Engkau mengetahui bahawa cintaku padanya adalah kerana cintaNya pada Mu ya Allah..cintanya pada perjuangan agamaMu ya Allah..rindunya pada syahid di jalanMu ya Allah..Dialah insan pertama yang hadir dalam hidupku..walaupun dirinya tidak ditakdirkan buat diri ini, kerana cintaku padanya adalah keranaMu ya Allah, akanku sentiasa titipkan doa buat dirinya moga dirinya sentiasa bahagia di bawah rahmatMu ya Allah hingga ke SyurgaMu…insyaAllah!..ku yakin, Allah ingin menggantikan bagiku insan yang terbaik buat diri ini..Allah itu Maha Mengetahui yang Terbaik buat hamba2Nya..

Maha SuciMu ya Allah!..tidaklah Engkau menjadikan tiap2 sesuatu itu dengan sia-sia…ALLAHUAKBAR!


~“ya Allah, bahagiakan diriku dalam redhaMu..amin ya Rabbal a’lamin!”~

Wallahua’lam..

Tuesday, January 17, 2012

~PERANG GAZA 18 JANUARI 2009 - SIAPA MENANG?



Hari ini pada tahun 2009 – 18 Jan 2009, setelah 22 hari melancarkan serangan ganas ke atas Gaza, Israel memanggil tenteranya pulang. Hampir 1500 rakyat Palestin menjadi korban dan hanya 13 tentera Israel terbunuh. Namun kedua-dua pihak mengaku menang.

Kalau angka korban menjadi piala kemenangan, tentunya Israel boleh mendabik dada. Tapi itukah ukurannya? Dalam sidang media sebaik saja serangan dilancarkan pada 27 Dis 2008, Menteri Pertahanan regim Israel, Ehud Barak menggariskan 3 objektif perang :
1. mengenakan `pukulan’ yang kuat kepada Hamas,
2. mengubah situasi di Gaza,
3. menghentikan serangan roket.

Matlamat pertama dan kedua boleh dibaca sebagai menjatuhkan kerajaan Hamas di Gaza. Manakala matlamat yang tidak disebut secara nyata tentunya untuk membebaskan Gilat Shalid yang sudah 2 ½ tahun tidak dapat dicari oleh Israel.

Apakah matlamat Israel tercapai? 3 tahun berlalu Hamas terus bertapak kuat bahkan semakin disokong oleh rakyat Gaza. Kekuatan ketenteraan Hamas juga terus bertambah selepas perang. Akhbar on-line World Tribune pada 18 Jan 2011 memetik laporan bahawa Hamas telah memilik roket Fajr-5 dari Iran dengan jarak 80km, meletakkan Tel Aviv dalam jangkaun Hamas. Pada Disember 2010, Hamas telah menggunakan peluru berpandu anti-kereta kebal AT-14 Kornet yang berjaya menembusi kereta kebal Merkava Israel.

Serangan roket dari Gaza juga berterusan kecuali oleh Hamas yang sengaja menahan diri (self-restraint). Website Kementerian Luar Israel melaporkan 261 roket dilancar sejak Perang Gaza hingga Mac 2011. Ini tidak termasuk serangan mortar.

Gilad Shalit pula hanya dibebaskan atas ihsan Hamas setelah lebih 1000 tahanan Palestin dibebas sebagai ganti, 3 tahun selepas Perang Gaza.
Tidak satu pun objektif Israel dalam perang keatas Gaza yang tercapai.



   Cuba kita bayangkan kalau pasukan bola terbaik dunia, Manchester United melawan pasukan bola kampung dari hulu Kelantan. Pasukan bola kampung itu tidak perlu membuat sebarang jaringan, cukup kalau dia mampu menahan sebarang gol dari MU sudah dikira begitu hebat dan boleh mendabik dada kemenangan. Menafikan matlamat lawan.


Kemampuan rakyat Palestin bertahan dan menafikan matlamat Zionis Israel walaupun terpaksa membayar dengan pengorbanan yang tinggi merupakan satu kemenangan yang besar dan memalukan satu angkatan tentera yang akui terhebat dan tercanggih didunia. Melawan `segerombolan' pejuang pembebasan berbekal AK47.

Ketika Sumayyah r.a. dan keluarganya disiksa, Abu Jahalkah yang menang kerana dapat menyiksa dan akhirnya membunuh mereka? Atau Sumayyah yang menang kerana mampu menafikan kehendak Abu Jahal dengan mempertahankan aqidahnya sehingga beliau syahid?

"Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar." Al Buruj : 10-11

[Sumber:Ar. Syed Mohd Radhi,Aqsa Syarif Gombak.]

Sunday, January 15, 2012

~Hassan al-Banna dan Ikhwanul Muslimin,


Subhanallah..Allahuakbar!..itulah sebuah perjuangan ISLAM yang mesti kita sama2 pertahankan hari ini dalam menongkah arus' banjir' yang semakin 'tenat' , insyaAllah! Sungguh, Allah sentiasa bersama orang2 yang mengakkan agamaNya.....

Saturday, January 14, 2012

~FEQH: Apa itu 'Darah Istihadhah', Kedudukannya dan Cara Penyempurnaannya?

Bismillahirrahmaanirrahim...

    Darah istihadhah ialah darah yang keluar bukan pada masa haid dan juga nifas. Darah istihadhah merangkumi;[1]
a) Darah yang keluar sebelum umur kemungkinan haid iaitu sembilan tahun mengikut jumhur ulamak.

b) Darah yang keluar kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam mengikut mazhab Syafi’ie.
c) Darah yang keluar melebihi tempoh maksima haid atau melebihi tempoh kebiasaan haid.
d) Darah yang melebihi tempoh maksima nifas.

e) Darah yang keluar dari wanita yang hamil mengikut pandangan jumhur ulamak selain mazhab Syafi’ie.
f) Darah yang keluar melebihi umur putus haid

     Darah istihadhah tidak turun dari rahim sebagaimana darah haid atau nifas, akan tetapi keluar dari urat yang dipanggil al-‘Azil (العاذل).[2] Sifat darah istihadhah -menurut mazhab Syafi’ie- adalah cair dan berwarna merah terang (antara merah dan kuning).[3]

Apa caranya untuk membezakan antara darah haid dan darah istihadhah jika seorang wanita menghadapi masalah keluar darah yang berterusan atau melebihi tempoh kebiasaan haid?

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w., ada tiga kaedah untuk ia membezakannya;
1. Dengan merujuk kepada kebiasaan haidnya yang lalu. 

    Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. kepada Wanita yang istihadhah pertamanya hendaklah merujuk kepada kebiasaan haidnya (yakni darah-darah yang keluar pada hari-hari kebiasaan haid adalah darah haid dan adapun yang keluar pada hari berikutnya adalah istihadhah).
    Ini berpandukan hadis dari ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah binti Abi Hubaisyh r.a telah mengadu kepada Nabi s.a.w.; ‘Sesungguhnya aku kedatangan haid tanpa putus-putus. Apakah aku perlu meninggalkan solat?” Nabi s.a.w. menjawab; ‘Tidak. Sesungguhnya itu adalah darah dari urat (عرق), bukan darah haid. (Oleh demikian, janganlah kamu tinggalkan solat pada keseluruhan hari datangnya darah itu), akan tetapi kamu tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

     Jadi, seorang wanita semasa menghadapi masalah tersebut, jika ia mengingati tempoh kebiasaan haidnya, hendaklah ia mengira bilangan hari haidnya mengikut tempoh kebiasaan tersebut dan darah yang keluar selepas tempoh itu dikira sebagai darah istihadhah dan ia tertakluk dengan hukum wanita istihadhah (bukan wanita haid atau nifas). Contohnya; jika ia biasa kedatangan haid selama tujuh hari, maka hendaklah ia menetapkan tempoh haidnya selama tujuh hari dan darah yang masih keluar selepas tujuh hari itu dikira istihadhah.

2. Dengan melihat kepada perbezaan darah. 
    Jika seorang wanita tidak mempunyai kebiasaan haid (kerana baru kedatangan haid atau melupai kebiasaan haidnya), hendaklah dirujuk kepada perbezaan darah. Ini berdasarkan hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. menghadapi istihadhah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya; “Sesungguhnya darah haid adalah darah berwarna hitam yang dikenali (yakni ia mempunyai bau yang dikenali oleh kaum wanita). Oleh demikian, jika kamu melihat darah sedemikian, hendaklah kamu menahan diri dari menunaikan solat. Tetapi jika kamu melihat darah berwarna lain, maka ambillah wudhuk dan kerjakanlah solat”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Berkata al-Albani; hadis ini hasan soheh).

Hadis di atas menjadi dalil bahawa diambil kira perbezaan sifat darah di mana jika bersifat dengan warna hitam, maka ia adalah haid dan jika tidak, maka ia adalah istihadhah.

3. Dengan merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita. 
   Sekiranya seorang wanita tidak mengetahui kebiasaan haidnya dan begitu juga ia tidak dapat membezakan darah dengan melihat sifat-sifatnya (yakni warna darah yang keluar adalah sekata), maka ketika itu ia hendaklah merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita iaitu enam atau tujuh hari. Ini berdasarkan hadis dari Hamnah binti Jahsyi r.a. yang menceritakan; Aku telah kedatangan haid yang banyak dan kuat. Lalu aku datang kepada Nabi s.a.w. untuk meminta fatwa dari baginda. Lalu baginda bersabda; Sesungguhnya ia (bukanlah haid, tetapi) satu tindakan jahat dari Syaitan (hingga menyebabkan kamu lupa kebiasaan haid kamu). Oleh demikian, tetapkanlah tempoh haid kamu enam atau tujuh hari sahaja, kemudian mandilah.(Riwayat Abu Dad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Menurut al-Albani; hadis hasan).

Adalah wanita yang menghadapi masalah tersebut wajib merujuk kepada ulamak?
   Ya, wajib ia merujuk kepada ulamak. Berkata Imam Ibnul-Jauzi dalam kitabnya “أحكام المرأة” (Hukum Hakam Wanita); apabila berlaku kepada seorang wanita yang kedatangan haid keadaan-keadaan yang berbeza dengan kebiasaan haidnya, wajib ke atasnya menceritakan kepada para fuqahak pada setiap apa yang berlaku (untuk mendapat pandangan Syarak serta fatwa). (Halaman 42).

Apakah kedudukan wanita yang menghadapi darah istihadhah pada hukum Syarak?
   Mereka adalah seperti wanita yang suci kerana darah yang keluar dari faraj mereka tidak dianggap oleh Syarak sebagai darah haid, tetapi darah penyakit atau istihadhah. Kerana itu, mereka wajib menunaikan solat dan berpuasa serta diharuskan bagi mereka perkara-perkara yang dilarang ke atas wanita yang haid (yakni tawaf, sujud, membaca al-Quran, I’tikaf, bersetubuh dengan suami dan sebagainya).

    Oleh demikian, wanita Istihadhah wajib mandi apabila menyedari bahawa hari-hari haidnya telah tamat sekalipun darah masih keluar dari kemaluannya (yakni darah istihadhah). Hukum ini telah menjadi ijmak ulamak berdalilkan arahan Rasulullah s.a.w. kepada Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. (yang menghadapi masalah istihadhah); “…..tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”.

Bagaimana cara wanita yang menghadapi masalah istihadhah mengambil wudhuk? Adakah terdapat perbezaan dengan wanita suci lain yang tidak menghadapi masalah istihadhah?
  Ya, ada perbezaan. Wanita yang mengalamai masalah istihadhah walaupun menyamai hukum wanita yang suci secara amnya sebagaimana dinyatakan tadi, namun ada sedikit perbezaan antaranya dengan wanita suci yang lain memandangkan darah masih keluar dari farajnya.

Perbezaan itu ialah;

1. Wanita yang mengalami masalah istihadhah, ia hendaklah menunggu masuk waktu barulah mengambil wudhuk jika ingin mengerjakan solat fardhu atau solat sunat yang berwaktu. Tidak harus ia mengambil wudhuk sebelum masuknya waktu kerana wudhuknya hanyalah wudhuk darurat dan sesuatu yang dilakukan kerana darurat hendaklah dilakukan apabila tiba waktunya.
2. Menurut mazhab Syafi’ie; satu wudhuk hanya untuk satu solat fardhu sahaja. Jika ia ingin mengerjakan berbilang-bilang solat fardhu (seperti solat qadha, nazar atau menjamakkan) ia wajib mengulangi wudhuknya. Adapun solat-solat sunat, harus ia mengerjakan seberapa banyak solat sunat yang diingini dengan satu wudhuk. Namun menurut mazhab Hanafi dan Hanbali; harus ia mengerjakan dengan satu wudhuk seberapa banyak solat fardhu yang dikehendaki, iaitu tiada beza dengan solat sunat.[4]

3. Sebelum mengambil wudhuk ia hendaklah membasuh kemaluannya dengan sempurna, kemudian membalutnya dengan kain atau sebagainya sekadar yang termampu (untuk membendung darah dari keluar sekadar terdaya). Setelah itu, hendaklah ia segera mengambil wudhuk.
4. Ketika mengambil wudhuk hendaklah ia berniat untuk mengharuskan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang mensyaratkan wudhuk. Contohnya; ia meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wudhuk untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wudhuk ia berniat untuk mengangkat hadas kerana hadasnya tidak akan terangkat selama darah sentiasa mengalir keluar dari kemaluannya kerana perkara tersebut membatalkan wudhuk.

5. Setelah selesai wudhuk hendaklah ia segera menunaikan solat tanpa menangguh lagi.

6. Sebahagian ulamak mengharuskan wanita yang menghadapi masalah istiadhah menjamakkan dua solat dengan sekali wudhuk iaitu menjamakkan zohor dan asar atau maghrib dan isyak. Ini kerana Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh Hamnah binti Jahsyi r.a. yang mengalami masalah istihadhah menjamakkan dua solatnya dengan sekali mandi sebagaimana baginda pernah menyuruh Sahlah binti Sahal r.a. berbuat yang sama.

Adakah wanita istihadhah harus disetubuhi suaminya?
Berlaku khilaf di kalangan ulamak;

1. Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie); harus bagi suaminya mensetubuhinya sekalipun darah sedang keluar dari kemaluannya.

2. Menurut Imam an-Nakha’ie dan al-Hakam; dilarang mensetubuhinya kerana diriwayatkan dari Saidatina ‘Aisyah r.a. bahawa beliau menegah suami mensetubuhi isterinya yang istihadhah.
3. Imam Ibnu Sirin memakruhkannya.

4. Berkata Imam Ahmad; Tidak harus mensetubuhinya kecuali jika terlalu lama istihadhahnya. Dalam satu riwayat yang lain darinya; Tidak harus kecuali jika ditakuti suaminya akan berbuat dosa (zina dan sebagainya).

Nota Hujung;
[1] Wahbah Zuhaili, 1/478.
[2] al-‘Azil (العاذل); menurut kamus al-Marbawi bermaksud urat yang mengalir darinya darah istihadhah.
[3] Ibrahim Muhammad al-Jamal, hlm. 50.
[4] Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh ‘Abdurrahman al-Jazairi, 1/93-96

Wallahua'lam.

[Sumber]

Friday, January 6, 2012

~Meningkatnya umur diperjalananku ini...alhamdulillah!


Bismillahirrahmaanirrahim...


    Meningkat umur diperjalanan ini, semakin dewasa pemikiran dan perasaan. Sungguh, kehadiran cinta menggetarkan jiwa dan rasa. Tanpa perlu belajar, tidak perlu merujuk nota…hadirnya tidak di undang, tetap melawat dan mendiam di hati insan.
   Manusia sering menyebut tentang cinta pada hamba-hambaNya. Ternyata kita sering lupa hakikat cinta sebenar hanya untukNya. Rindu dan kasih sayang anugerahNya untuk kita belajar mencintaNya melebihi segalanya. Allah tidak pernah melarang hambaNya berkasih sayang. Justeru, rasa cinta itu sendiri adalah takdirNya.

Maha Mengetahuinya Dia akan hati hambaNya. Setiap jiwa memiliki perasaan untuk dicintai dan mencinta, maka Dia menyediakan jalan yang terbaik untuk hambaNya. Berkahwinlah keranaNya, mencintailah keranaNya, bertemu dan berpisah jua keranaNya,hanya untukNya. Terlalu sayangnya Dia pada hambaNya, sentiasa memberikan kita jalan yg terindah. Dia mengetahui fitrah yang membalut setiap manusia. Namun, berapa ramai yg menghayati anugerahNya. Cinta nafsu yang memerangkap jiwa remaja, padahal telah Allah memberikan peringatan demi peringatan, namun teruna dan dara terus terbelit dan terkandas dalam cinta yang dianggap indah namun rupanya bersulam nafsu semata-mata.

“ Cinta yang membuah ranum di dasar hati,

Menciptakan kemanisan pada jiwa setiap insan yang merasa,

Namun tanpa baja..tanpa dijaga,

Akar yang kukuh juga bisa rapuh,

Andai batang yang tebal jua menyembah bumi,

Manakan ranting dan dahan ingin berpaut,

Andaikan bunga yang indah berguguran sblm kembang,

Manakan buah hendak masak memerah”


Bagitulah halnya tentang cinta ini, andai perasaan yang terpendam diresipikan nafsu bukannya iman, rosaklah perasaan, tumbuhnya sekadar mngundang serangga perosak. Buahnya meranum namun rasanya pahit. Akhirnya dibiar mati tidak dipeduli.

Sabda Rasulullah saw:
“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.”
Riwayat Al-Bukhari

Jangan menghantar hatimu menuju kehancuran, kerana terlalu cintakan dunia dan manusia, akan memakan jiwa. Manakan bisa seorang hamba mengharap pada hamba yang lain, sedangkan hamba yang lain jua mengharap pada Pencipta yang satu. Sekeping hati yang dimiliki setiap jasad ini boleh berubah bila-bila masa sahaja kehendak dan kemahuannya. Sungguh rapuh.

Hari ini berbicara cinta, hari esok tiada rasa. Hari ini, berjanji setia..hari esok tiada suara. Hari ini dia milikmu, hari ini esok belum tentu. Siapa kita untuk mengatur sekeping hati, mengatur jalan kaki sendiri ke arah yang benar pun ramai yang tidak pasti.

Semua orang ingin dicintai, tambahan pula bila dicintai oleh insan yang mereka cintai. Apabila cinta tidak kesampaian, ramai yang merajuk hati hingga ada insan yang lebih memilih mati hanya kerana disingkir cinta. Alangkah ruginya titisan air mata dilepaskan untuk cinta manusia yang hidupnya hanya sementara.

Sedangkan tidak ramai yang sanggup bergenang air mata menghayati anugerah Dia. Tidak banyak pula yang mensyukuri nikmatNya. Berapa ramai yang sedar bahawa takdirnya adalah terbaik untuk setiap hambaNya. Percayalah bahawasanya Dia lebih mengenali hati hambaNya. Masakan Allah yang maha Penyayang bersikap zalim. Dia maha mengetahui segala sesuatu baik yang nyata mahupun tersembunyi.

“ Mencintai tidak bererti memiliki..

Siapa berhak melunakkan skeping hati selain Dia,

Mencintai seseorang bermakna kamu perlu bersedia menerima,

Segala kesudahan rasa,

Mencintailah keranaNya dan kamu akan merasai lazatnya cinta,

Tiada jiwa terluka..tiada hati tersiksa,

Kerana insan percaya, takdirNya terindah dari segala peristiwa,

Kerana kita percaya, Dia menentukan segalanya.

Jodohnya manusia ada ditanganNya.

Saudaraku tercinta,

Andai kehendak hati terhenti,

Percayalah, Dia sedang mengaturkan sesuatu yang lebih baik lagi,

Cinta yang membuatkan mu tidak lena,

Menjadikan harimu terganggu setiap masa,

Bukannya itu cinta yang diharapkan,

Itu hanya perasaan yang hanya mengundang tekanan,

Cinta sesungguhnya apabila kamu mencinta keranaNya,

Redha dengan takdirNya,

Menerima suratan dengan siapa kamu dipertemukan,

Mensyukuri pertemuan jodohmu walau bukan dengan insan idaman,

Asalkan si dia mencintai Tuhan,

Kita kan terus mencintainya tanpa alasan.

Mengapa dicari secantik Balqis, andai diri tidak sehebat Sulaiman..Mengapa mengharap teman setampan Yusof jika kasih tidak setulus Zulaikha..Mengapa mengharap teman seteguh Ibrahim andai diri tidak sehebat Siti Hajar..Mengapa didambakan teman sehidup yang sempurna Muhammad jika ada keburukan pada diri sendiri..Bimbinglah dirinya dan terimalah kekurangan itu sebagai keunikan..Carilah kebaikan itu pada dirinya. Bersyukurlah kerana dipertemukan dengannya dan berdoalah dia milikmu…

“Aku mencintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, Jika kau hilangkan AGAMA dalam dirimu, hilanglah CINTAku padamu..” (Imam Nawawi )

Saudara/iku tersayang,

Orang yang wujud dihatinya akan suatu rasa mencintai Allah melebihi segala apa yang ada di langit dan dibumi, nescaya tiada duka buatnya. Allah akan memenuhi rindu dihatinya, tiada lagi rindunya buat duniawi yang akan binasa. Seseorang pecinta akan selalu berfikir dan menyebut insan yang dicintai, ibaratnya tak mati di hati, tak lekang di bibir. Demikian jualah cinta untuk Illahi, persiapkan lisan untuk selalu menyebut indah namaNya, sediakan hati untuk selalu mengingatiNya, dan jadilah insan yang paling bahagia dalam redaNya.

Hadis Qudsi:
Allah swt berfirman: “Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.”(Sahih Bukhari)

Amin.

Wallahua’lam.

~Halawatul Iman..manisnya sebuah kehidupan..



Bismillahirrahmaanirrahim...

  Kelazatan iman (Halawatul Iman) tidak boleh dirasai jika kita tidak memulakan langkah untuk memahami hikmat di sebalik setiap apa yang kita lakukan, mengapa dan bagaimana kita lakukannya.

Kesedaran diri adalah kata awalan terhadap setiap amalan yang kita buat.


Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.” (Muttafaq alaih)

Anas berkata, “Aku melayani Rasulullah SAW selama sepuluh tahun, Baginda tidak pernah memukulku, tidak pernah mencelaku dan tidak pernah bermuka masam di hadapanku. Rasulullah SAW mendoakan Anas dikurnia harta dan anak yang ramai dan doa Baginda dikabulkan Allah.

Makna hadis ini, ada tiga sifat yang jika ada pada seseorang maka orang itu akan berasakan manisnya iman. Manisnya iman adalah rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah, ketenangan jiwa, kesenangan hati dan lapangnya dada.

Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata, “Syaikh Abu Muhammad bin Abu Hamzah berkata:

“Pengungkapan dengan lafaz ‘manis’ kerana Allah mengumpamakan iman seperti pohon,

seperti di dalam firman-Nya bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik.” (Surah Ibrahim, ayat 24)

Kalimat yang baik adalah kalimat ikhlas, kalimat tauhid, sedangkan pohon adalah pokok daripada keimanan,

cabangnya adalah menjalankan perintah dan menjauhi larangan,

daun-daunnya adalah segala amal kebaikan yang harus diperhatikan seorang mukmin,

dan buahnya adalah segala macam bentuk ketaatan.

Manisnya buah ketika buah sudah matang,

dan puncak daripada rasa manis itu adalah apabila buah telah benar-benar masak.

Maka ketika itulah akan terasa manisnya buah itu.

Mencintai Allah mestilah melebihi cintanya kepada orang lain seperti orang tua, anak, diri sendiri dan sesiapa saja yang dekat dengan kita. Beriman kepada Allah memiliki rasa manis yang tidak mungkin dinikmati, kecuali oleh orang yang beriman dengan sebenar-benar keimanan, penuh keikhlasan dan ilmu.

Oleh kerana itu, tidak semua orang yang mengatakan dirinya Muslim atau mukmin secara automatik dapat berasakan manisnya iman

Iman bukan cukup hanya dengan angan-angan,

tetapi wajib dimantapkan dalam hati,

dikuatkan dengan perkataan dan perbuatan yang dijiwai sepenuh hati.

Kata kunci segala permasalahan ini adalah ikhlas.

Mengikut Imam Ibnul Qayyim, antara perbuatan untuk memperoleh kecintaan Allah dan kemanisan iman, selepas melakukan ibadat wajib:

l Membaca al-Quran dengan merenungkan dan memahami maknanya.

l Mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amalan sunat.

l Terus menerus berzikir kepada Allah dalam setiap tindak tanduk kehidupan dengan hati, lisan atau perbuatan.

l Mendahulukan apa yang dicintai Allah daripada apa yang dicintai diri sendiri.

l Berkawan dengan orang yang jujur mencintai Allah dan orang soleh

l Menjauhi segala perkara yang dapat menghalangi pautan hati dengan Allah.

Mencintai Rasulullah SAW yang menyusul selepas mencintai Allah adalah ciri terpenting yang harus dimiliki sesiapa saja yang ingin berasakan kelazatan iman. Cinta Allah dan Rasul-Nya adalah kayu ukur bagi kecintaan terhadap diri sendiri, orang tua, anak dan seluruh manusia.

Suatu ketika Saidina Umar berkata kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu apa pun, kecuali diriku.”

Maka Nabi SAW menjawab, “Bukan begitu, demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sehingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri.”

Maka Umar menjawab, “Demi Allah, sesungguhnya engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri.”

Maka Nabi SAW menjawab, “Sekarang Umar, (telah sempurna imanmu).”

Anas juga meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, beliau bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman salah seorang di antara kalian, sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya, anaknya dan seluruh manusia.”

Mencintai seseorang kerana Allah maksudnya menjaga hubungan kasih sayang antara seorang Muslim dengan saudaranya atas landasan iman kepada Allah SWT dan amal soleh. Kita mencintai saudara kita bukan kerana keuntungan kebendaan atau harta, kita membencinya atau menjauhinya bukan kerana kemiskinan atau tidak memperoleh manfaat dunia darinya. Ukuran cinta kita kepadanya adalah atas dasar iman dan amal

Saling mencintai kerana Allah mempunyai hak yang harus ditunaikan antaranya membantu memenuhi keperluan saudaranya dan menolong pada saat dia memerlukan bantuan, tidak membuka aib, tidak membenci, tidak iri dan dengki terhadap nikmat yang diberikan Allah kepada saudara kita.

Sentiasa mendoakan saudara kita tanpa pengetahuannya dan mengucapkan salam jika bertemu, bertanya khabar keadaannya, tidak sombong dan tinggi diri. Jalinan seorang Muslim dengan Muslim lain dibangun atas landasan cinta kepada Allah.

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Baginda mengenai tujuh golongan yang akan dinaungi Allah antaranya: “Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya